Saturday, August 13, 2011

RAMADHAN UJIAN IMAN UMAT ISLAM

SETIAP Muslim memaklumi bahawa Ramadan adalah bulan suci yang penuh rahmat, bulan dilipat gandakan ganjaran pahala bagi setiap amal kebajikan, malah kedatangannya dianggap tamu agung yang wajar disambut dengan perasaan penuh gembira.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Telah datang kepadamu bulan Ramadan, penghulu segala bulan. Selamat datanglah kepadanya. Bulan puasa datang dengan pelbagai berkat. Alangkah mulianya tamu yang datang itu." (HR At-Thabrani) Umat Islam yang masih dikurniakan Allah dengan nikmat kesihatan dan dipanjangkan usia patut benar bersyukur kepada-Nya kerana dapat lagi menikmati suasana dan keberkatan bulan Ramadan 1432H ini, terutama untuk melaksanakan amalan puasa dengan sempurna dan sebaik-baiknya.

Golongan yang bersungguh-sungguh beriman sudah tentu sangat gembira dengan kehadiran bulan ini yang penuh dengan pelbagai keberkatan dan keampunan yang munculnya hanya sekali dalam setahun.

Rasulullah s.a.w. ada menjelaskan mengenai balasan kepada mereka yang berasa amat sukacita dengan kedatangan Ramadan, iaitu dengan sabdanya bermaksud: "Sesiapa yang bergembira dengan datangnya bulan Ramadan, maka Allah mengharamkan jasadnya masuk ke dalam semua pintu neraka." (HR Baihaqy dan Ibnu Majah)

Kegembiraan menyambut Ramadan dan mengerjakan amalan puasa itu bertambah lagi apabila mengingati segala dosa orang yang melaksanakan puasa (tentunya jika dengan benar-benar ikhlas) akan diampuni oleh Allah, baik yang telah lalu mahupun yang akan datang, iaitu sekiranya puasa itu ditunaikan dengan sempurna dan penuh penghayatan, sebagaimana sabda Nabi s.a.w. bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kerana iman dan mengharap pahala Allah, diampunkan dosanya yang lalu dan yang akan datang." (HR Ahmad)

Sabda Rasulullah bermaksud: "Apabila tiba malam pertama dari bulan Ramadan, semua syaitan dan jin yang jahat dibelenggu, pintu-pintu neraka ditutup rapat sehingga tidak satu pun yang terbuka. Sebaliknya pintu syurga dibuka lebar dan tidak satu pun tertutup. Kemudian muncul seruan pada setiap malam: Hai orang yang baik, majulah, dan orang yang jahat, berhentilah. Dan Allah membebaskan beberapa penghuni neraka dan hal ini berlaku setiap malam bulan Ramadan." (HR Ibnu Hibban dan al-Hakim) Memasuki Ramadan bermakna kita melangkah ke gerbang ujian dan latihan. Kita tentu tidak mahu puasa yang kita kerjakan dengan bersusah payah menahan lapar dan dahaga itu tidak memperolehi apa-apa nilai atau ganjaran daripada Allah.

Ada baiknya kita merenung bagaimanakah cara Rasulullah s.a.w. menyambut kedatangan Ramadan. Apa yang baginda lakukan ialah antaranya seperti banyak mengerjakan amalan kebajikan dan ibadah puasa.

Hal ini didasarkan kepada penjelasan sebuah hadis dinyatakan bahawa: "Adalah Rasulullah kadang-kadang terus menerus berpuasa sehingga kami mengatakan yang baginda tidak berbuka dan terkadang terus menerus berbuka sampai kami mengatakan yang baginda tidak pernah berpuasa sunat. Tetapi saya tidak pernah melihat Rasulullah menyempurnakan puasa sebulan penuh selain bulan Ramadan dan saya tidak pernah melihat baginda banyak melakukan puasa selain puasa pada bulan Syaaban."

Satu lagi cara Rasulullah menyambut Ramadan ialah dengan menyampaikan ceramah pada akhir bulan Syaaban untuk menjelaskan kebesaran dan keagungan bulan Ramadan.

Pada satu kesempatan pada penghujung Syaaban, Rasulullah pernah menyampaikan khutbah yang isinya amat menggembirakan dan menenangkan jiwa, yang mengandungi pesan dan janji-janji serta harapan bagi mereka yang beriman yang melaksanakan puasa itu.

Bunyi khutbah itu ialah: "Wahai manusia! Sudah datang kepadamu bulan yang penuh berkat, di dalamnya terdapat satu malam yang terlebih baik daripada seribu bulan dan Allah s.w.t. mewajibkan puasa di dalamnya, bangun di malam harinya merupakan sunnah. Barangsiapa menghampirkan dirinya kepada Allah dengan melaksanakan amal kebaikan, samalah dengan mengerjakan yang wajib di bulan lain. Siapa melaksanakan ibadah wajib (fardu), pahalanya seperti tujuh puluh yang wajib di bulan lain. Ramadan adalah bulan kesabaran manakala ganjaran atas kesabaran itu adalah syurga."

Bulan ini juga adalah bulan pertolongan dan bertambahnya rezeki. Sesiapa yang memberi makanan untuk berbuka kepada orang yang berpuasa, ia akan memperolehi keampunan atas segala dosanya, juga pembebasan daripada api neraka. Rasulullah kemudian ditanya oleh sahabat: Ya Rasulullah, tidak semuanya kami mampu berbuat demikian. Rasulullah secara tegas menjawab:

Ketahuilah, bahawa Allah s.w.t. akan mengurniakan pahala kepada orang yang memberi makanan berbuka puasa walaupun dengan sebiji kurma atau seteguk air ataupun sedikit susu."

Permulaan Ramadan adalah rahmat (kasih sayang), pertengahannya adalah pengampunan dosa manakala di akhir atau penghujungnya pembebasan daripada api neraka.

Perhatikan empat hal iaitu dua hal untuk keredaan Tuhan dan dua hal lagi untuk keperluan. Dua untuk Allah adalah: Engkau naik saksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan memperbanyak minat meminta ampun kepada Tuhanmu.

Untuk keperluan sendiri adalah: Mengharapkan syurga dari Allah dan berlindung kepada-Nya daripada seksa api neraka. Barangsiapa yang memberi minuman (berbuka) kepada orang berpuasa, Allah akan memberinya minum dari telaga (kausar), sekali minum tidak akan haus selamanya sampai ia masuk syurga dengan selamat. (HR. Ibnu Khuzaimah dari Salman al-Farisi). Demikian ringkasan khutbah Baginda.

Menyentuh apakah upacara khusus yang perlu dibuat bagi menyambut kehadiran Ramadan, Rasulullah tidak pula pernah memberikan contoh. Apa yang perlu diingat bahawa janganlah upacara atau persiapan yang akan dibuat itu banyak mengorbankan tenaga dan menghabiskan biaya, apalagi jika sampai melanggar susila keagamaan kerana ini adalah sesuatu yang tercela menurut Islam.

Apa yang sangat perlu dilakukan ialah benar-benar berusaha memahami ketentuan puasa itu agar amalan yang akan dilaksanakan benar-benar bersesuaian dengan ajaran dan petunjuk Nabi, sehingga amalan itu dapat memberi nilai tambah untuk bekalan menuju alam baqa'.

Oleh itu sudah sewajarnya pada bulan Ramadan, kita perlu bekalkan diri dengan ilmu, sekurang-kurangnya menyemak kembali hal yang berhubung dengan puasa dengan cara membaca buku-buku agama. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan mereka yang berpuasa tetapi tidak memperolehi apa-apa nilai atau ganjaran daripada puasa itu kecuali lapar dan dahaga.

Akhirnya marilah kita memanfaatkan kehadiran Ramadan dengan cara memperbanyak amal soleh dan kebajikan kerana sesungguhnya Ramadan tidak selalu hadir dalam hidup kita.

Mana tahu kita tidak berkesempatan lagi menemui Ramadan pada tahun akan datang kerana tiada siapa yang mengetahui bilakah saat dan ketikanya kita dipanggil kembali ke sisi-Nya.


No comments:

Post a Comment